Tuesday, December 13, 2011

HAI PEMBACA BLOG SEMUA! Namaku SYEM

HAI PEMBACA BLOG SEMUA! Selamat datang ke blog SENI SYEM. Aku membuat keputusan nak bubuh nama blog ini SENI SYEM sebab blog ini aku lebih nak fokuskan tentang kerjaya seni aku dan juga & hasil-hasil kerja seni pelbagai yang ingin aku kongsikan.

SENI UTAMA AKU ialah melukis karikatur memandangkan aku hampir hari-hari melukis muka orang. Jenis karikatur aku ialah kartun-potret, memandangkan lukisan wajah-wajah model yang aku hasilkan tidak begitu ekstrim atau kurang distorsi.

DI MASA AKAN DATANG aku juga akan kongsikan seni aku yang lain seperti seni animasi, seni komik, videografi, pelan pentas, cenderahati, seni grafik, aktiviti menjadi guru seni, seni 3D, seni bunyi-bunyian menggunakan mulut atau lebih dikenali sebagai seni beat-box, seni lakon pentas, senilakon suara & apa lagi? Herrmmm... pendek kata pelbagai cabang seni lah. Tapi semua cerita-cerita seni aku ni bukan aku nak humban dalam masa terdekat ni la, mungkin ambik masa sedikit demi sedikit insyAllah.

RINGKAS TENTANG DIRI AKU Nama penuh aku ialah Shamsir bin Mohd Shahar, masih muda lagi, tak lama lagi tua lah. Aku ni bekas peserta Raja Lawak Astro Musim ke tiga pada tahun 2009 dahulu. Aku guna nama 'SYEM' sebab itu memang panggilan mesra aku dikalangan keluarga. Aku terkeluar pada minggu ke-dua. Memang agak ralat juga kerana aku tak sempat nak tunjuk kan bakat aku yang lain tapi takpelah aku bersyukur & aku redha dengan keputusan SMS.

Nama 'SYEM' ni asal dari kenalan ibubapaku iaitu seorang mat-saleh ketika kami di Kanada dimana mereka ni agak sukar nak menyebut nama Shamsir. Waktu itu aku masih lagi baby & oleh kerana mereka ni susah la benor nak sebut nama aku, mereka pun ringkaskan nama aku dengan hanya menyebut nama Sham atau dengan slang orang-putih mereka bunyinya jadi 'Syem' . Nama itu melekat sehingga kini hingga menjadi panggilan oleh ibubapa aku juga. (Kecuali bila time-time serious, mereka akan panggil nama penuh aku, ehemm... Shamsir!)

Aku anak nombor empat daripada lima adik beradik, dilahirkan di Hospital Besar Kuala Lumpur tapi banyak membesar di luar negeri kerana orang tua aku bekerja sebagai diplomat iaitu dengan Kementerian Luar Negeri di Wisma Putra. Jadi aku sudah mengikuti mereka merantau ke pelbagai negeri yang berbeza.

Bahasa selain BI & BM yang aku boleh menguasai ialah bahasa perancis. Ketika zaman aku kanak-kanak belum ada lagi internet & agak sukar untuk aku hubungi adik beradik aku yang lain di Malaysia untuk hilangkan boring. Aku cuma tumpang kirim salam melalui surat emak aku pada anak-anaknya memandangkan diwaktu aku masa kecil aku memang malas nak menulis atau menaip surat.

SEJARAH KEMAHIRAN MELUKIS - Banyak negara-negara yang aku pergi hampir tiada orang berbangsa Melayu yang sama baya ketika di sekolah. Jadi boleh dikatakan aku ni alien pada orang-orang antarabangsa disekeliling aku. Kesannya ianya membuatkan aku bosan & memberontak di dalam jiwa. Jadi kaedah untuk aku hilangkan bosan ialah dengan banyak melukis, menonton kartun & meniru suara kartun. Apabila aku dah terlalu banyak melukis kartun & tiru suara kartun maka skill-skill tersebut bertambah mahir. Kesannya kawan aku bertambah ramai & aku banyak dipanggil untuk aktif dalam aktiviti seni di sekolah.

Aku mendapati orang-orang antarabangsa ni memang sangat suka dengan orang yang mahir dalam seni terutama senilukis. Ketika umur aku masih kecil yang memang dahagakan kawan, kenalan, dahagakan dorongan semangat, penghargaan dan sebagainya, aku makin aktif mahirkan apa-apa seni yang ada pada dalam diri aku ini. Aku lebih terkenal dengan kemahiran melukis aku. Dan hasil dari pengalaman yang dihadiahkan olehNYA, ianya membuatkan hobi aku iaitu senilukis menjadi mata pencarianku & ianya kini kerjaya utamaku.

Aku juga ingin mengambil kesempatan di sini untuk kongsikan apa-apa ilmu senilukis yang aku ada. Moga ilmu kita makin bertambah kerana aku diberitahu oleh orang-orang yang lebih arif, mereka berkata apabila kita kongsi sebarang ilmu yang kita ada, ilmu kita akan semakin bertambah - insyAllah. Wallhu'alam

Selamat Mengikuti Blog aku ya & Terima kasih atas sokongan semua!

No comments:

Post a Comment